I have decided to close this blog for good (to the point of writing this but i don't think i would finalize this decision anytime sooner).
However, bezictosoft will be not affected by this decision.
4hb Jun 2008. Panggilan telefon aku terima pada waktu pagi yang menyatakan abah aku pengsan di pejabat benar-benar merisaukan aku. Aku telah dihubungi oleh adik lelaki yang bongsu pada ketika itu. Kira-kira jam 8:30pagi, SMS yang aku hantar yang menyatakan kesediaan aku untuk pulang sekiranya diperlukan telah dibalas dengan panggilan telefon menyatakan aku perlu juga kembali kerana .. aku telah kehilangan abahku.
Lantas, tanpa berfikir panjang aku terus menyimpan laptop yang digunakan ke almari dan memberitahu senior untuk memberitahu bahagian pentadbiran aku terpaksa pulang segera. Aku pada waktu itu, tak menyatakan dengan jelas kepada seniorku itu kerana perasaan aku pada ketika itu sudahpun terlalu sebak tetapi sebab aku adalah lelaki sulung, aku perlu tabah.
Setelah melepaskan panggilan tersebut, aku pulang ke rumah seketika untuk mengemaskan pakaian yang perlu dan terus menutup punca air di depan rumah. Selanjutnya setelah mengisi minyak, aku terus keluar tol Behrang walhal pada kelazimannya aku akan keluar terus di Slim River menuju ke Lebuhraya PLUS.
Pemanduan menuju ke Kedah sepanjang 4 jam amat menyeksakan jiwa aku.
Kali terakhir aku berjumpa dengan abah aku adalah pada Mac lepas masa mengunjungi majlis konvokesyen adik lelaki selepas aku di UTM Skudai. Kami memang ditakdirkan jarang berbual dan sekiranya hendak difikirkan itulah yang paling aku kesalkan sekarang. Perkataan terakhir aku dengar daripadanya adalah sewaktu mama menelefon aku menceritakan mengenai baju batik berwarna ungu yang mana abahku akan membelikan kemudian di atas sebab-sebab tertentu. Dalam minggu sebelum abahku meninggal, sekeluarga aku kecuali diri aku telah bercuti di Kelantan. Iaitu negeri di mana abahku kini bekerja. Ahli keluarga aku (kecuali aku) semuanya sempat berbual malah bercuti di Tok Bali sehari sebelum abahku kembali ke rahmahtullah.
Berita kematian abahku sehari selepas mama dan adik2 ku tiba di Kedah sememangnya tidak dapat diterima kerana arwah kelihatan sihat saja. Tetapi apa yang milik-Nya akan dipulangkan kepada-Nya. Dengan itu aku redha di atas ketentuan-Nya.
Setelah hanya berhenti sekali di Gunung Semanggol, aku meneruskan perjalanan dengan kelajuan malar. Aku tiba di Kedah dalam jam 1:00pm dan aku hampir2 demam pada waktu itu dan aku terus menuju ke mama ku yang pada waktu itu berada di rumah atukku. Ketika itu, telah begitu ramai kenalan di kawasan luar rumah.
Aku diminta pulang ke rumah taman terlebih dahulu untuk membersihkan diri bersama adik2 ku. Seterusnya selepas asar, aku dan adik2 ku terus bertolak semula ke rumah atukku untuk menunggu ketibaan jenazah dari Kelantan.
Di beritakan jenazah abahku telah pun disempurnakan di Kelantan dan disembahyangkan di sana dan bertolak dari sana ke Kedah dalam jam 1:00 tengahari.
Kira-kira jam 5:00 petang semua kenalan arwah abahku tiba di perkarangan rumah kampung atukku itu. Dari serata Malaysia, SUK Negeri Kelantan dan wakil Kerajaan Negeri Kedah juga tiba menunggu.
Jenazah tiba dalam pukul 7:45 petang dan alhamdullilah semua ahli keluarga sebelah abahku dan nenekku termasuk adik2 sempat memberikan penghormatan terakhir.
Namun, dilaporkan arwah abahku ada mempunyai seorang anak angkat. Sampai ke hari ini, aku masih tidak dapat menghubungi dan mengenalinya.
Jenazah dikebumikan setelah disembahyangkan sekali lagi selepas Isyak. Setelah urusan pengkebumian selesai, kami adik beradik dan mama ku dibawa ke rumah atukku semula untuk menyempurnakan hal-hal lain.
... Kini setelah 8 hari, aku kembali ke tanjong malim setelah menguruskan urusan di kampung. Mujurnya semua sanak saudara sebelah mama ku menetap di Kedah. Aku juga di dalam perancangan membawa ibu ke rumah aku bilamasa adik perempuanku yang bongsu masuk ke sekolah menengah berasrama penuh kelak. Sekiranya adik lelaki aku berkahwin dahulu, mungkin dia akan membawa bersama mama untuk tinggal bersama.
Aku sekarang dalam proses untuk menyempurnakan dokumen pencen arwah abah aku. Dengan ini dapat mengurangkan beban dari faktor kewangan untuk keluarga aku. InsyaAllah semuanya akan selesai dalam minggu hadapan.
Kepada rakan2 blogger, keputusan aku sama ada menutup atau tidak blog ini bergantung kepada entry aku seterusnya sekiranya ada. Sekiranya tiada entry seterusnya, diharap maafkan segala kesilapan dan terkasar bahasa yang telah aku inputkan di dalam blog ini.
BezictoSoft akan terus berada di ruang siber ini. Terima kasih kepada semua.
Al-Fatihah.